snow

Thursday, 22 December 2016

ISU ANCAMAN JENAYAH SIBER

  Jenayah siber merupakan jenayah komputer yang baharu pada abad ini. Jenayah siber ini terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat, penggodaman dan lain-lain. Kemunculan Internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan maklumat. Oleh sebab tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.Ancaman terbesar di negara ini sekarang ialah Jenayah siber yang melibatkan serangan terhadap laman-laman sesawang (web) kerajaan. Penjenayah yang menggunakan peralatan teknologi maklumat seperti komputer dan pencetak bagi memalsukan dokumen seperti pasport, kad pengenalan, mata wang, dan cek juga boleh dikategorikan sebagai Jenayah siber. Selain Itu, penipuan juga melibatkan e-dagang dan penipuan dalam talian telefon.
Masalah-­masalah ini jika tidak ditangani dengan baik dan bersungguh-sungguh akan menjejaskan pembangunan dan ketenteraman negara pada masa depan. Pada masa ini banyak kes yang dilaporkan kepada pihak polis melibatkan penyalahgunaan dan penipuan melalui e-mel. Jenayah siber terdedah kepada banyak cabaran seperti sukar diselesaikan dan teknologi yang semakin berkembang membolehkan penjenayah melakukan jenayah terancang. Biasanya jenayah terancang menggunakan propaganda politik bagi mengelakkan mereka dikenali polis. Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang berkembang setiap hari menjadikan penyiasatan bertambah rumit. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang perlu berubah selaras dengan perkembangan teknologi yang ada sekarang. Biasanya penjenayah siber terdiri daripada bekas kakitangan yang diberhentikan dan berniat untuk membalas dendam terhadap bekas majikan mereka. Mereka mungkin juga terdiri daripada vendor yang tidak setuju dengan kontrak yang diberikan, kakitangan penyelenggaraan atau penggodam yang menggunakan pengetahuan mereka untuk membuat keuntungan atau individu yang mendapat akses daripada kakitangan yang tidak jujur. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang ditubuhkan pada 1998 merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab memberikan laporan kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi dalam membantu siasatan Jenayah siber dari segi Jenis, kesan, dan sifatnya.
 Selain itu, undang-undang siber turut dicipta di beberapa buah negara di seluruh dunia Bagi menangani masalah jenayah siber yang berleluasa dalam Internet. Negara kita tidak terkecuali daripada mengadakan undang-undang siber sendiri. Walau bagaimanapun, ibarat seperti melepaskan syarat untuk membuktikan negara mempunyai prosedur tertentu untuk menapis aktiviti negatif penjenayah siber. Kewujudan undang-undang siber yang sedia ada masih belum mampu untuk menampung atau membanteras jenayah siber yang semakln bijak dan berleluasa. Undang-undang siber Malaysia kelihatan belum cukup meluas dan merangkumi semua aspek. Kejadian seperti membuat sabotaj dengan menyebarkan gambar-gambar berunsur porno yang menjatuhkan maruah seseorang merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Pencurian wang melalui transaksi pemindahan elektronik, pencurian nombor pin, nombor kad kredit, mencuri data-data dari pangkalan data merupakan aktiviti yang sedang bergiat cergas.
Tetapi undang-undang siber negara sedia ada tidak mampu untuk membendung kes-kes seperti Ini. Tegasnya, undang-undang siber dan yang berkaitan dengannya perlu dikaji dari semasa ke semasa mengikut tahap ancaman global yang selalu berubah-ubah. Sebenarnya, tidak ada jalan pintas dalam menangani ancaman siber. Jalan yang terbaik ialah setiap individu perlulah memainkan peranan masing-masing dalam lingkungan kuasa dan kemampuan yang ada. Pihak pengurusan atasan syarikat atau organisasi perlulah menangani risiko ancaman siber dari perspektif yang menyeluruh serta mengeluarkan polisi-polisi yang berkesan untuk diikuti oleh pekerja syarikat. Sumber kewangan dan staf yang mahir perlu diadakan dan mencukupi.
 Bagi individu pula, perlu ada tahap kesedaran yang tinggi tentang risiko daripada ancaman siber ini, terutamanya ketika menggunakan komputer masing-masing. Setiap daripada kita perlulah ada rasa tanggungjawab untuk menentukan komputer kita terjamin selamat. Selain itu, setiap individu perlulah mempunyai etika kerja yang murni dan tidak menyalahgunakan sumber yang diberi dengan melayari laman-laman web yang tidak produktif, lucah, dan bertentangan dengan undang-undang dan nilai sejagat. Di pihak kerajaan pula, kerajaan perlu mengadakan dan menentukan prasarana ICT yang selamat dengan melaksanakan polisi-polisi yang efektif, terkini, dan praktikal. Kerajaan juga perlu menentukan wujudnya organisasi bebas yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan maklumat yang boleh memberi khidmat dan nasihat tentang cara yang betul dan sesuai untuk menangani ancaman siber. Organisasi ini kelak diharapkan dapat dirujuk oleh semua golongan masyarakat di Malaysia secara mudah.


No comments:

Post a Comment